Tuesday, December 13, 2011

:: Hati Ibu dan Isteri ::

Hati ibu runsing dan cemas bila sesuatu terjadi pada anaknya
Hati ibu sentiasa gundah apabila melihat kesakitan anaknya
Hati ibu sangat terluka apabila anaknya disakiti
Hati ibu sentiasa inginkan yang terbaik untuk anaknya





Semua ibu mempunyai perasaan begini. Ibu lah yang mengandungkan anak dan menanggung kepayahan serta kesakitan semasa melahirkan anak. Ayah tahu, tapi Ayah tak faham. Orang lain pun tahu tapi orang lain pun tak faham. Kecuali mereka yang bergelar ibu. Ibulah yang paling memahami. Kalau Ayah marahkan anak, Ibu akan kecil hati. Ibu akan rasa hatinya turut terguris dengan sikap Ayah. Ibu akan melindungi anaknya daripada disakiti. Ibu akan menangis melihat anaknya disakiti di depan matanya. Tak siapa faham hati Ibu kecuali Allah & Ibu sendiri. Betapa melimpahnya kasih sayang Ibu terhadap anaknya sehingga tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan perasaan itu. Ibu faham walaupun anaknya tidak berkata-kata. Ibu faham hanya dengan memandang. Ibu faham dengan gerak hati kurniaan Allah. 

Jika anda seorang anak yang baik dan penuh pengertian, anda akan tahu bagaimana perasaan kasih dan sayang terhadap Ibu anda. Anda takkan sanggup melukai hati Ibu. Anda akan berikan yang terbaik untuk Ibu. Anda akan lindungi Ibu walau dengan apa cara sekali pun. 

Jika anda seorang bapa, fahamilah kasih sayang antara isteri dan anak anda. Sama seperti kasih sayang anda dan ibu anda. 

Anak adalah hasil perkongsian kasih sayang antara suami dan isteri. Sama-samalah menjaga, membesarkan anak anda dengan penuh kasih sayang. Menjaga dan membesarkan anak bukan tanggungjawab isteri seorang. Walaupun isteri anda tidak kisah menjaga anak, percayalah, isteri anda sangat mengharapkan dan menghargai bantuan daripada anda. Hakikatnya, seorang isteri dan ibu tidak pernah berhenti melakukan kerja rumah. Ada-ada saja yang hendak dilunaskan. Lihatlah Ibu anda, lihatlah isteri anda. 

Ayah juga patut belajar menguruskan anak. Ibu mampu melakukan semua kerja apabila Ayah tiada di sisi. Bagaimana sekiranya Ibu terpaksa pergi berjauhan dengan anak, adakah Ayah mampu melakukan apa yang Ibu lakukan? Tahniah sekiranya anda boleh lakukannya, mampu dan jelas tentang tanggungjawab anda. Anda memang seorang Ayah yang baik. Anda tidak seharusnya malu sekiranya rakan-rakan mendapat tahu anda melakukan kerja rumah dan menguruskan keperluan anak anda. Malah anda seharusnya berbangga kerana andalah HERO di mata isteri dan anak anda. Mereka yang merendah-rendahkan atau mempersendakan anda adalah golongan yang PATUT dikasihani kerana mereka tidak mempunyai kebolehan seperti anda! 

Janganlah anda sering berasa lega meninggalkan isteri dan anak anda kerana percaya isteri boleh melakukannya. Memang isteri boleh melakukan apa sahaja selagi terdaya. Tetapi ingatlah, perasaan isteri sedikit sebanyak akan merasakan anda tidak mempedulikan dirinya dan anak. Isteri akan merasakan anda suka berjauhan dengannya dan anak. Lama kelamaan perasaan itu semakin menggunung dan akhirnya isteri anda berasa selesa menguruskan anak dan kerja rumah seorang diri tanpa anda. Apakah maknanya? Maknanya anda tidak diperlukan. Sudah tentu anda tak mahu perkara ini terjadi. 

Pekalah terhadap kesusahan dan kepenatan isteri. Jangan pandang enteng terhadap tanggungjawab anda bersama. Seremeh-remeh perkara dalam rumah tangga adalah sesuatu yang sangat penting. Jika dipandang ringan akan merebak seperti "SPREADING DISEASE" yang boleh mengundang MAUT!



No comments:

Post a Comment